Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tahun 2018 dilihat sebagai tahun yang mencabar buat pelabur hartanah. Harga hartanah yang rata-ratanya mahal menyukarkan pelabur hartanah mendapatkan positive cashflow akibat ketidakseimbangan di antara penawaran dan permintaan. Sebagai pelabur baru, saya mengambil pendekatan mengambil risiko berdasarkan budget dan kemampuan, dan mengambil-kira potensi yang ada di sesuatu tempat.
Bagi kehidupan peribadi pula, tahun 2018 dilihat sebagai ‘turning-point’ untuk saya menilai kehidupan ini. Kehidupan ini umpama kaca. Apa yang kita ada itulah yang akan kita biaskan kepada semua. Jika kaca itu bercahaya, maka sinar pantulannya akan menjadi jelas dan terang. Sebaliknya, kaca yang pudar, tidak mampu membiaskan cahaya kepada semua.
Cabaran pula adalah asam garam kehidupan. Bagi diri saya, cabaran merupakan satu fasa untuk mematangkan diri. Untuk mengorak langkah kehadapan, tak dapat tidak, cabaran harus ditempuhi. Justeru itu, saya kira cabaran memberi saya semangat untuk terus berbakti kepada semua sementara hidup di alam fana ini. Ya, hidup ini sebenarnya untuk memberi. Memberi setelah kita menerima banyak nikmat kurniaan Ilahi.
Kepada anak-anakku; Nur Aisyah, Nur Ashiqin dan Muhammad Khairul Adli, pandanglah kehidupan ini dengan pandangan yang benar dan positif. Isikanlah dadamu dengan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat. Hidup ini sebenarnya mudah. Jangan rumitkannya. Allah SWT menjadikan segala-galanya berdasarkan sunnatullah.
Firman Allah SWT dalam Juzuk ke-17, Surah-22, Al-Haj; ” Dan berjihadlah bersungguh-sungguh pada jalan Allah. Dia telah memilih kamu (menjadi umat yang terbaik). Dia tidak menjadikan kesukaran dalam agama. Agamamu ialah agama bapamu Nabi Ibrahim. Allah telah menamakan kamu muslimin dari dahulu dan juga dalam (Al Quran) ini, agar rasul menjadi saksi (bahawa ia telah menyampaikan risalahnya) dan kamu menjadi saksi kepada semua manusia (menjadi teladan dalam keseimbangan antara keduniaan dan keakhiratan). Maka dirikanlah solat, bayarlah zakat dan berpeganglah kepada tali Allah. Dialah Pelindung yang terbaik dan Dialah Penolong yang paling baik (pula)”.
Marilah kita sama-sama menjalani tahun 2018 dengan sifat berlapang dada dan teruskan usaha untuk menjadi yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. Kepada pelabur hartanah, jadikanlah tahun 2018 sebagai tahun untuk menimba lebih banyak ilmu ‘property investing’ kerana hartanah ini sentiasa melalui kitarannya. Apa pun, trend harga hartanah di Malaysia kebelakangan ini agak stabil dan dalam trend meningkat, kita just tunggu dan lihat. Hope for the best.