Assalamualaikum dan salam sejahtera. Rumah merupakan perkara pertama yang difikirkan setelah berkeluarga. Rumah yang selesa dan nyaman penting bagi meneruskan kesinambungan generasi akan datang. Pun begitu, kesukaran menyediakan wang pendahuluan menyebabkan ramai daripada kita yang terpaksa menyewa dahulu sebelum membeli rumah sendiri. Sebenarnya anda boleh mendapatkan rumah tanpa atau dengan wang pendahuluan yang minimum sahaja.
Caranya ialah dengan menjadi pembeli rumah pertama anda. Dengan menjadi pembeli rumah pertama, anda layak mendapat pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan, pemaju dan pihak swasta. Selain itu, anda perlu membeli rumah dengan mengambil pandangan sebagai seorang pelabur. Untuk menggunapakai strategi ini, faktor lokasi perlu diambil-kira. Cari lokasi yang strategik dan menjadi pilihan ramai. Setelah beberapa lama tinggal di kediaman sendiri, cari penyewa yang berkualiti, anda pindah dan jadikan kediaman tersebut sebagai hartanah sewaan pertama anda.
Tapi nanti dulu. Sebelum anda melompat kegirangan dan mengaplikasikan strategi ini, pastikan dahulu kadar keuntungan yang ditetapkan oleh bank adalah tetap dan anda mempunyai pekerjaan yang stabil bagi membolehkan anda terus membuat pembayaran kepada bank. Selain itu, anda mestilah mempunyai wawasan yang jelas iaitu untuk menjadikan hartanah tersebut sebagai pelaburan jangka masa panjang anda. Ini kerana hakikatnya, kediaman yang telah habis dibayar menjadi pelan persaraan anda yang terbaik hanya jika kediaman tersebut disewa oleh penyewa yang berkualiti yang mana hasil sewaan tersebut terus mengalir ke dalam poket anda tiap-tiap bulan. Sesungguhnya inilah impian terindah setiap pelabur hartanah.
Baiklah, semoga anda berjaya membuat perancangan yang sebaik-baiknya dengan menjadikan kediaman anda sebagai lubuk wang yang akan terus memberi pendapatan di usia emas anda.