Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pernah dengar tak ada ibu-bapa yang mengeluh panjang apabila tiba masa untuk menghantar anak-anak mereka menyambung pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi ? Ada juga yang terpaksa memajakkan rumah didiami semata-mata untuk memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa di menara gading.
Sebenarnya anda mempunyai alternatif yang lebih baik bagi mendapatkan wang untuk menampung kos pengajian anak-anak di menara gading. Caranya tak lain tak bukan melalui pembelian hartanah. Cuba pembaca bayangkan inflasi setiap tahun akan menghakis nilai wang. Inflasi di sesebuah negara biasanya 1% – 3% setahun. Tetapi inflasi tidak rasmi satu-satu keluarga biasanya dalam lingkungan 6% – 10% setahun bergantung kepada gaya hidup masing-masing. Justeru, anda memerlukan satu bentuk pelaburan yang dapat memberi pulangan minimum 8% setiap tahun. Pembelian hartanah jika kena caranya dapat memberi pulangan 8% setahun.
Di sini, anda boleh membeli hartanah setiap anak sebagai polisi pendidikan mereka. Apabila mereka telah bersedia untuk ke institusi pengajian tinggi, anda boleh menjual hartanah tersebut atau membuat pembiayaan semula (refinance) sebagai dana untuk menampung kos pendidikan anak-anak.
Dengan pembelian hartanah juga, anda dapat menikmati 2 jenis keuntungan iaitu pulangan jangka pendek melalui sewaan atau pulangan dalam jangka masa panjang melalui kenaikan nilai hartanah.
Saya doakan pelaburan anda berjaya bagi meneruskan kesinambungan pembelajaran anak-anak dalam era yang semakin mencabar kini.