Tahun 2019, tahun mencabar dalam ekonomi dan 5 langkah yang perlu diambil untuk melindungi diri anda.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudahkah anda bersedia dengan tahun 2019 dimana ianya dikatakan sebagai tahun yang mencabar dalam ekonomi ?

Dikatakan juga Amerika akan mengalami fasa kemelesetan seawal tahun 2020. Di Malaysia pula selama 3 bulan sehingga September tahun ini KDNK nya mengalami penurunan 1% iaitu 4.4 persen berbanding 4.5 persen sebelumnya.

Baru-baru ini pula harga minyak Brent menjunam di bawah US$60 per barrel, kali pertama sejak Oktober tahun lepas. Seperti yang kita maklum prestasi ekonomi Malaysia sentiasa terikat dengan harga minyak. Justeru, kerajaan perlu berhati-hati agar harga minyak yang rendah tidak menjejaskan ekonomi negara. Di pihak kita pula, apa yang orang awam perlu lakukan bagi persediaan menghadapi keadaan ekonomi yang sukar diramal ini. Terdapat 5 langkah yang sekurang-kurangnya kita dapat lakukan bagi melindungi diri dalam menghadapi tahun 2019 yang dikatakan tahun yang mencabar dalam ekonomi.

  1. Tingkatkan jumlah rizab anda sekurang-kurangnya untuk satu tahun.


Bagi menghadapi cabaran yang mendatang adalah sebaik-baiknya anda meningkatkan dana rizab/simpanan anda untuk sekurang-kurangnya setahun. Sebagai contoh, jika jumlah perbelanjaan anda ialah RM4,000 sebulan, maka dana rizab anda sepatutnya sekurang-kurangnya RM48,000. Pada waktu kesukaran, mempunyai wang tunai adalah penting bagi membeli barang keperluan contohnya makanan, pakaian, ubat-ubatan dan tempat berlindung.

2. Kurangkan hutang anda.

Anda boleh melakukannya dengan tidak membeli barang mewah atau mahal yang menyebabkan anda berhutang. Di sini juga anda boleh menjual hartanah anda yang ada bagi mendapatkan keuntungan dan mengurangkan atau membayar hutang-hutang anda yang sedia ada.

3. Tukarkan gadai-janji yang ada kepada kadar faedah tetap.

Dengan melakukan langkah menukarkan semua gadai-janji yang ada kepada kadar faedah tetap, anda sebenarnya telah melindungi diri daripada kenaikan kadar faedah akan datang.

4. Melabur dalam emas dan perak.

Selain wang kertas, emas dan perak juga merupakan duit. Apa yang istimewanya tentang emas dan perak ialah ianya tidak terikat kepada mana-mana sistem kewangan yang ada. Ianya tersendiri dan unik dan tetap utuh nilainya. Untuk pengetahuan anda, harga emas telah meningkat sejak 2001. Begitu juga perak.

5. Cipta pendapatan tambahan.

Seperti yang diketahui, adalah berbahaya bergantung kepada hanya satu pendapatan. Di zaman sekarang, tiada perniagaan yang selamat, begitu juga pekerjaan. Kini, dengan bantuan internet, terdapat banyak persaingan dalam bisnes. Begitu juga ada kemungkinan banyak pekerjaan yang boleh digantikan dengan robot. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mendapat pendapatan tambahan. Sebagai contoh, jika anda pengarang buku, anda akan mendapat pendapatan tambahan dari segi royalti. Begitu juga tuan rumah mendapat hasil sewaan dengan menyewakan hartanah mereka.

Oleh itu, marilah kita praktikkan langkah-langkah di atas, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.