
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum kita melangkah ke tahun baru, iaitu tahun 2019. Sekarang ini mungking ramai sudah menulis resolusi mereka untuk tahun 2019. Sama ada resolusi kita untuk tahun 2018 tercapai atau tidak tidak perlu digusarkan sangat, sebab sekejap masa lagi kita akan menginjakkan kaki ke fajar tahun baru 2019. Mungkin kita boleh membuat refleksi apakah yang menyebabkan resolusi tahun 2018 tidak berjaya dicapai dan cuba buat mana-mana penambahbaikan yang perlu untuk tahun 2019.
Baiklah, baru-baru ini Ida ada membaca buku ‘The Power of Now’ karya Eekhart Tolle, yang telah menjadi New York Times Bestseller. Bukunya amat menarik kerana ia mengupas persoalan kenapa ramai orang tidak merasa gembira dalam hidupnya. Mengikut penulis, mereka yang tergolong dalam kategori tidak bahagia ini sering terperangkap dalam masa lalu dan masa hadapan. Jelasnya lagi untuk bahagia seseorang itu perlu memastikan dirinya benar-benar berada pada masa kini.
Di sini Ida petik kata-katanya yang amat baik untuk kita jadikan pedoman pada tahun 2019 nanti. “Belajarlah menerima hakikat dan kenyataan hidup kita seadanya. Kita gagal berfikir secara waras sekiranya kita cuba lari dan bersembunyi daripadanya. Serahlah seluruh diri kita dan bertawakal kepada kehidupan. Katakan ‘ya’ kepada kehidupan. Kemudian, kita lihatlah bagaimana perjalanan kehidupan kita akan menjadi lebih mudah dan menggembirakan”.
Di sini juga Ida nak highlight konsep tawakkal yang disebut oleh penulis. Beliau berkata bertawakal kepada kehidupan. Konsep ini tidak lari jauh daripada apa yang telah diperkatakan oleh Islam sejak beribu-ribu tahun yang lalu; iaitu bertawakkal kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ath-Thalaq, ayat 3; “Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.
Justeru itu, marilah kita bersama-sama mengharungi tahun 2019 dengan penuh redha dan bertawakkal kepada Allah SWT, dan sama-sama berusaha untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini, insya-Allah.