
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah hampir sebulan Ida tidak menulis artikel dalam blog ini. Tangan memang teringin mencoretkan sesuatu, namun dek kerana kesibukan kerja terpaksa dipendamkan dulu niat tersebut.
Kebelakangan ini terdengar desas-desus yang mengatakan bangsa Melayu sebagai bangsa yang pemalas. Benarkah begitu? Ida tertarik untuk men’google’ dan mengkaji isu ini dengan lebih mendalam. Insya-Allah, mudah-mudahan isu yang mengatakan bangsa Melayu sebagai bangsa yang ‘malas’ akan terjawab.
Setelah membaca beberapa artikel dalam blog dan akhbar, Ida dapat membuat kesimpulan yang bangsa Melayu sebenarnya adalah bangsa yang hebat. Kenapa Ida berkata demikian? Jom kita telusuri fakta sejarah yang ditinggalkan oleh nenek-moyang bangsa Melayu.
- Bangsa yang tebal dari segi tahap spiritualnya.

Bangsa Melayu dikenali sebagai bangsa yang lemah-lembut , sopan santun dan bertolak-ansur even dengan bangsa dan kaum yang lain. Perwatakan ini kemudiannya diwarisi kepada anak cucu-cicit bangsa Melayu. Dari mana sebenarnya sifat ini datang? Soalan Ida terjawab setelah membaca beberapa artikel dalam blog, dikatakan bangsa Melayu ini adalah daripada keturunan Keturah; iaitu isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. Mereka juga adalah Bani Jawi yang diberi gelaran oleh orang Arab.
“Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah.” (QS. Hud : 75)
Persoalannya di sini, siapakah Keturah; isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s.? Majoriti teks-teks Yahudi dan Kristian mendefinasikan Keturah sebagai ‘unknown nationality’. Pun begitu, ada kajian yang menyatakan Keturah berasal dari Timur Jauh. Nabi Ibrahim a.s. mengahwini Keturah pada usia yang lanjut. Perlu diingat setiap perbuatan baginda merupakan perintah dan ilham daripada Allah SWT yang mengkehendaki baginda mengahwini Keturah. Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini dan bertemu dengan Penciptanya, Nabi Ibrahim a.s. memanggil anak-anaknya dari Keturah iaitu Zimran, Jukshan, Madyan, Ishbak, Medan dan Shauh. Anak-anak baginda sudah remaja dan berperwatakan kuat dan cerdas menuruti kehebatan bapa mereka serta sifat tenang Siti Keturah wanita misteri dari Timur. Baginda menyampaikan amanat supaya anak-anaknya bergerak ke arah timur berbekalkan emas, iaitu sesuatu yang menjadi rahsia kepada keturunan Keturah. Dengan takdir Allah SWT, mereka menyebar di bahagian Timur dan medirikan kerajaan di kawasan ini.
2. Bangsa yang pernah menguasai teknologi pelayaran dan pertahanan.

Tahu atau tidak nenek-moyang bangsa Melayu adalah pelayar dan pengembara yang handal. Orang Arab belajar ilmu berkenaan daripada orang Melayu yang kemudiannya Eropah belajar daripada mereka. Seni pelayaran ibarat deria keenam orang Melayu yang tidak dimiliki oleh bangsa lain di dunia. Sebagai contoh, Ferdinand Magellan yang dikatakan berjaya mengelilingi dunia sebenarnya mendapat pertolongan daripada anak kapal berbangsa Melayu, yang nama Sepanyolnya, Enrique. Dalam bidang persenjataan pula, Kerajaan Melaka mempunyai kira-kira 8,000 jenis senjata api tidak termasuk senjata tikaman. Penjajah Portugis juga mengakui mendapat tentangan hebat dan sukar menawan Melaka kerana orang Melayu mempunyai senjata yang hebat seperti penembak tepat yang dihasilkan sendiri.
Sebenarnya banyak lagi kehebatan bangsa Melayu yang tidak Ida kongsikan di sini. Mungkin pembaca boleh berkongsi dengan yang lain di ruangan komen mengenai kehebatan bangsa Melayu yang juga digelar Bani Tamim ini. Dari Ibn Umar bahawa Nabi SAW mengambil tangan Saidina Ali dan berkata, “Akan keluar dari sulbimu (Saidina Ali) yang memenuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian, maka wajib kamu mencari Putera Bani Tamim, dia datang dari sebelah timur dan dia ialah pemegang panji-panji Al-Mahdi”. (HR Imam Tabrani)
Jika pembaca berminat untuk mengetahui sejarah kehebatan bangsa Melayu dengan lebih lanjut, kenalah rajin membaca artikel dan buku ye. Ok lah, selamat membaca dan mengkaji.