
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Cuti sekolah baru-baru ini, Ida dan anak-anak berkunjung ke Taman Tasik Shah Alam. Wow! Itu lah perkataan yang tepat untuk menggambarkan imej baru Taman Tasik Shah Alam kini. Agak banyak juga perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan bagi menjadikan Taman Tasik Shah Alam lebih cantik dan menarik.
Jika anda ke sini jangan ketinggalan untuk manaiki Jambatan Kanopi yang baru sahaja dirasmikan pembukaannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor pada 27hb Oktober 2018. Menariknya jambatan kanopi ini ianya dibina melintasi pokok-pokok besar yang ada di antaranya berusia 40 tahun.




Sekali- sekala anda akan dapat melihat pokok bunga melilit yang menghiasi di sekeliling jambatan gantung ini.

Jika anda ingin melihat pemandangan tasik yang lebih luas, Ida syorkan anda naik ke menara tinjau di hujung jambatan gantung ini. Di sini anda dapat menikmati udara yang lebih nyaman dengan pemandangan tasik yang lebih luas.


Banyak aktiviti-aktiviti menarik bersama keluarga yang anda boleh lakukan sewaktu di Taman Tasik Shah Alam ini. Di antara aktiviti yang tidak kurang popularnya ialah ber’boating’ sambil menikmati pemandangan tasik yang luas.

Di tengah-tengah tasik, terdapat pulau kecil tempat tinggal unggas dan itik yang dikhususkan untuk mereka. Anda boleh menaiki bot atau kayak untuk ke pulau kecil tersebut. Ida lihat ada juga pengunjung yang pergi ke pulau kecil tersebut untuk memberi makan kepada itik dan unggas di sana.

Selain itu, bagi anak-anak kecil yang inginkan aktiviti yang lebih lasak, mereka boleh berbasikal di trek basikal kanak-kanak dengan bayaran yang agak berbaloi jika menyewa basikal di situ.


Bagi mereka yang gemar berjogging dan berselfie, Ida syorkan anda berjogging sampai ke bahagian hujung tasik berdekatan dengan bangunan MBSA, di mana anda dapat menikmati lukisan mural yang indah di bawah jambatan tersebut.



Biasanya bila Ida dan anak-anak ke sini, mereka lebih suka bermain di taman permainan yang banyak terdapat di Taman Tasik Shah Alam ini.




Ok lah, apa lagi, jomlah bawa anak-anak ke Taman Tasik Shah Alam sempena cuti sekolah ni. Insya-Allah, mereka pasti akan tersenyum riang.