
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Memang betul, anda tak salah baca tajuk di atas; asalnya nak sewa rumah, last-last terpaksa menginap di hotel. Kejadian ini telah banyak berlaku kepada ramai rakan-rakan kita di luar sana yang telah ditipu dengan ejen penipuan homestay. Dalam masa beberapa jam sahaja, ejen penipuan homestay dapat mengaut RM10,000 yang dibayar sebagai deposit rumah.
Oklah, di sini Ida nak kongsi modus operandi ejen penipuan homestay yang menyebabkan ramai telah tertipu. Semoga dengan perkongsian ini menjadikan kita lebih berhati-hati sebelum membayar deposit rumah.
Sindiket ini akan menyewa kondominium atau rumah milik orang lain sebelum dijadikan umpan, menjerat sekurang-kurangnya tiga mangsa bagi satu kediaman.

Mereka merakam gambar serta video persekitaran unit homestay, menyamar ejen dan mengiklankannya sebagai rumah untuk disewa menerusi laman sosial.

Menetapkan satu tarikh lain kepada bakal penyewa (mangsa) untuk melihat sendiri rumah berkenaan. Semua mangsa akan diberikan waktu berlainan untuk melihat rumah agar tidak bertembung.

Ejen penipuan menghubungi pemilik dan menyewa homestay yang sama untuk sewaan satu malam lagi.

Mangsa membayar deposit menerusi satu akaun bank (nama lain) yang didakwa ejen penipuan sebagai akaun pemilik rumah.

Ejen penipuan mengemukakan perjanjian sewa rumah di antara pemilik dan penyewa untuk ditandatangani.

Mangsa hanya sedar ditipu selepas kembali ke rumah berkenaan dan mendapati ia sudah disewa sebagai homestay.
Boleh nampak tak permainan diaorang. Semuanya berlaku dengan licik dan tangkas. So, lain kali kalau ada iklan berkenaan sewa rumah, baik disiasat betul-betul sama-ada iklan berkenaan betul atau tidak untuk mengelakkan daripada ditipu beribu-ribu ringgit.
Bagi pemilik homestay pula adalah dinasihatkan menggunakan teknologi virtual 360 bagi mengiklankan kediaman mereka kerana menerusi kaedah ini gambar yang diiklankan sudah disahkan pemilik asal dan pencari homestay akan berhubung dengan pemilik yang asal.