
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Subhanallah, sudah semestinya syurga itu mahal. Namun, kenapa masih ramai yang tidak beramal sesungguhnya bagi meraih syurga yang indah dan kekal abadi itu? Mendengar kematian ramai di antara kita; daripada orang kebanyakan, para profesional, selebriti, mahupun kerabat diraja, menjentik perasaan insaf di hati.
Hidup kita di dunia ini umpama satu persinggahan. Satu masa, kita akan melangkah ke negeri yang kekal abadi, iaitu alam akhirat. Namun, yang menjadi persoalan, cukupkah bekalan kita untuk mengadap Sang Khalik nanti?
Nabi SAW bersabda maksudnya: ” Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh yang mendoakannya”.
Sesungguhnya, neraka itu dikelilingi kecintaan kepada dunia, wanita dan hawa nafsu yang diikuti. Sedangkan syurga itu pula dikelilingi oleh segala benda yang dibenci oleh hawa nafsu seperti ibadah dan berjihad di jalan Allah SWT.
Jalan ke syurga itu penuh kepahitan, kepenatan dan kelelahan dalam beribadah kepada Allah SWT. Namun, kemuncaknya adalah syurga dan redha Ilahi. Jalan ke neraka pula dihiasi keindahan dunia yang melalaikan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: ” Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah SWT untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.”.
Mengingati mati bukan bermaksud kita meninggalkan dunia dan fokus hanya pada ibadah seperti solat sahaja. Bahkan, kita diseru untuk bekerja, sesuai dengan peranan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi. Allah berfirman, maksudnya: “Dialah yang menjadikan bumi ini budak bagi kamu, berjalanlah kamu di muka bumi, dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung”. (QS. Al-Jum’ah:10)
Cuma kita perlu ingat, tujuan kita berada di dunia ini bukan untuk meraih nikmat dunia semata-mata. Tujuan yang paling utama ialah untuk kembali semula ke syurga, tempat di mana Bapa dan Bonda semua manusia iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa pernah tinggal.
Semoga kita semua termasuk di dalam kalangan orang yang sentiasa beristiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT, amiin.