Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mendapat anak-anak yang cemerlang adalah impian setiap ibu-bapa. Namun, tahukah anda, jika ada di antara anak-anak kita yang tergolong dalam kategori genius. Di sini Ida senaraikan 10 tanda jika anak anda adalah genius
1.Mencapai kemajuan lebih awal daripada kanak-kanak sebaya yang lain.

Sebagai contoh, mereka dapat menguasai kemahiran berbahasa lebih awal daripada kanak-kanak sebaya yang lain. Mereka mempunyai perbendaharaan kata yang luas dan mampu berkomunikasi dengan ayat yang kompleks pada awal usia lagi.
2. Mereka suka membaca.

Tabiat yang tidak dapat dipisahkan daripada mereka yang genius ialah mereka suka membaca. Kanak-kanak genius cepat belajar. Membaca merupakan hobi yang memberi kepuasan buat mereka.
3. Sikap ingin tahu yang tinggi tentang dunia luar.

Kanak-kanak bijak berminat tentang apa-apa yang berlaku disekelilingnya. Genius sebenar pula berminat untuk mengetahui bagaimana sesuatu itu berfungsi. Ibu-bapa kanak-kanak genius harus bersedia untuk menjawab pelbagai soalan yang akan diajukan oleh mereka. So, bersabar sajalah ye.😁
4. Mempunyai fokus atau pemerhatian yang tinggi.
Kanak-kanak genius dapat mengenalpasti sesuatu di sekeliling mereka dengan baik. Mereka juga dapat mengingati informasi tentang sesuatu perkara dengan jelas. So, tak boleh tipu-tipu si genius ni tau. Sekali tertipu, mereka akan ingat selamanya.
5. Mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu topik yang mereka minati.

Contohnya, jika mereka berminat tentang dinosaur, mereka dapat memberikan nama saintifik setiap dinosaur. Begitu juga jika mereka berminat tentang kereta, mereka dapat menerangkan tentang bagaimana enjin kereta berfungsi dengan baik. Kebolehan seperti itu biasanya diperolehi sewaktu dewasa, namun si genius cilik dapat menguasainya seawal usia lagi. Hebat bukan!
6. Lebih suka berkawan dengan mereka yang lebih berusia daripadanya.

Kanak-kanak genius mungkin sukar untuk bergaul dengan mereka yang mempunyai keupayaan dan minat yang berlainan dengannya. Mereka juga mendapati pelajaran dalam kelas adalah senang dan ini menyebabkan mereka cepat bosan. Justeru itu, mereka akan mula berinteraksi dengan kawan-kawan lain. Untuk mengatasi masalah ini, ibu-bapa boleh mendidik anak-anak genius cara-cara untuk bergaul dengan mereka yang berlainan usia, kemahiran sosial dan empati.
7. Fokus dan sikap bersungguh-sungguh tentang sesuatu perkara.

Kanak-kanak genius sentiasa bersungguh-sungguh menyelesaikan sesuatu perkara dan tidak akan sama sekali mengalah sehinggalah mereka dapat menyelesaikan perkara tersebut. Perhatian mereka tidak mudah teralih kepada perkara-perkara lain seperti TV, permainan video dan media sosial. Ini membolehkan mereka dapat menyelesaikan setiap tugasan dengan efisien.
8. Kemahiran kepimpinan.

Banyak daripada kanak-kanak genius menjadi pemimpin dalam industri dek kerana kematangan dan kemahiran organisasi mereka yang semulajadi. Mereka suka mencari solusi terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan juga sentiasa membuat penambahbaikan kepada sesuatu perkara.
9. Mereka asli.
Mereka bukan sahaja memahami kerja orang lain, tetapi dalam masa yang sama dapat menawarkan pemikiran asli mereka dalam penyelesaian sesuatu masalah. Perkataan yang selalu mereka gunakan ialah “Banyak manakah cara yang dapat saya lihat bagi menyelesaikan masalah tersebut?”.
10. Mereka bukan sempurna.

Menjadi genius bukan bermakna mereka cemerlang dalam semua subjek dan aptitude. Sebagai contoh, kanak-kanak tersebut mungkin math prodigy, namun lemah dalam subjek muzik. Atau mereka mungkin cemerlang dalam sukan, tetapi dalam masa yang sama mendapati membaca adalah sukar. Kuncinya di sini ialah memberi peluang seimbang kepada mereka untuk belajar dan berkembang.
Apa pun, genius atau tidak anak-anak anda, yang pasti mereka adalah anugerah Allah SWT dengan potensi yang tiada batasan, insya-Allah.