
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pakar ekonomi ada mengatakan; ‘Dalam setiap krisis, wujud peluang bagi pelabur’.
Pandemik Covid-19 menyaksikan majoriti masyarakat dunia terpaksa menghabiskan banyak masa di dalam rumah demi untuk memutuskan rantaian Covid-19. Aktiviti-aktiviti seperti pembelian dalam talian, video-conferancing dan hiburan juga banyak dilakukan dari rumah. Oleh itu, terdapat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan yang berasaskan online seperti servis penghantaran, pembelian dalam talian dan siaran televisyen berbayar seperti Unifi.

Akibat daripada Pandemik Covid-19 juga, syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham yang berasaskan telekomunikasi dan kesihatan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Justeru, peluang yang ada di sini ialah anda boleh melabur dalam saham syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Axiata, Telekom, Digi dan Maxi; saham Tenaga Nasional dan pemain industri seperti KPJ juga boleh dipertimbangkan.
Selain itu, terdapat peningkatan trend dalam bekerja dari rumah. Kebarangkalian trend bekerja dari rumah akan terus berlaku walaupun setelah Pandemik Covid-19 berakhir apabila majikan mendapati penjimatan kos yang dapat dicapai dengan mengadakan mesyuarat secara dalam talian. Permintaan terhadap kaunter-kaunter yang berkaitan dengan semi-konduktor juga akan meningkat, kerana jika difikirkan, apa yang merancakkan lagi trend pendigitilan adalah semi-konduktor.

Bagi newbie, pelaburan saham adalah sesuatu yang amat asing buat mereka. Namun, percayakah anda jika saya katakan adalah sangat mudah untuk melabur dalam saham. Anda hanya perlu membuka akaun CDS (Central Depository System) di mana-mana bank sahaja dan seterusnya dapat melakukan transaksi jual-beli saham dengan sendiri. Buat permulaan, belilah saham secara sedikit dahulu dan apabila anda sudah rasa selesa dan nampak keuntungannya, bolehlah membeli sehingga ratusan ribu ringgit mengikut kemampuan anda. Saham-saham seperti Axiata, Telekom, Digi, Maxis, Tenaga Nasional dan KPJ adalah saham patuh Syariah. Selain itu, terdapat banyak lagi saham syarikat-syarikat lain yang patuh Syariah dan maklumat tersebut dapat diperolehi dengan mudah dari internet.
Apa pun, anda perlu kaji betul-betul kaunter yang akan dibeli baik dari segi Fundamental, Technical dan News. Ini kerana kenaikan atau kejatuhan harga saham walau sebanyak satu sen sahaja boleh memberi impak yang besar kepada pelaburan kita. Di sini saya beri contoh jika anda melabur pada satu kaunter yang didagangkan di Bursa Malaysia berharga 2 sen dan modal anda adalah RM1,000. Dengan kiraan yang ringkas, anda layak untuk membeli 50,000 unit saham kaunter tersebut. Katakanlah, harga saham tersebut naik sebanyak 1 sen, maka keuntungan yang diperolehi adalah RM500 sebelum ditolak kos urusniaga yang mengandungi yuran broker, duti setem dan yuran penjelasan. Begitu juga sebaliknya jika harga saham jatuh sebanyak 1 sen, maka anda akan mengalami kerugian sebanyak RM500 (sebelum ditambah kos urusniaga).
Justeru itu, ilmu yang cukup perlu ada untuk melabur dalam saham. Sekiranya kita benar-benar ingin menjana keuntungan yang berlipat kali ganda, maka melaburlah pada ilmu terlebih dahulu. Ini kerana dengan pemilihan kaunter yang betul dan syarikat yang berpotensi, anda dengan mudah dapat menjana wang di mana-mana sahaja berbekalkan telefon bimbit, komputer riba dan internet.