
Puteri Aisyah melemparkan pandangannya ke luar jendela. Suasana alam yang baru sahaja dibasahi hujan sangat mendamaikan hatinya yang kini sedang dilanda gundah. Kelihatan pelangi terbentuk di langit awan, mengindahkan lagi suasana alam di kala itu.
“Alangkah bagusnya kalau hatiku juga ceria, seceria alam yang kulihat ini”, getus hati kecil Puteri Aisyah. “Puteri dah besar mummy. Mummy tak boleh paksa Puteri untuk bertunang dengan dia!” Puteri Aisyah memandang dengan bersungguh-sungguh wajah awet muda ibunya yang telah berusia 50 tahun. Puan Norleha tidak membalas pandangan anak tunggalnya itu. Dia memegang cangkir cawan kopi dengan berhati-hati. Dihirupnya kopi yang masih berbaki di dalamnya dengan penuh nikmat. Protes Puteri Aisyah seolah-olah tidak memberi kesan padanya.
“Mummy buat semua ini untuk kebaikan Puteri juga. Syahrul Nizam tu dah lah anak Datuk, berjaya pula tu. Bahagia hidup Puteri nanti”. “Bahagia kata mummy! Mummy tak kenal Syahrul Nizam tu. Mummy hanya kenal ayahnya saja. Biasanya kalau anak Datuk ni ramai peminat. Perempuan keliling pinggang. Perkataan ‘keliling pinggang’ sengaja dikuatkan agar Puan Norleha dapat menangkap butir bicaranya dengan jelas. Puan Norleha terdiam seketika. Kenangan sewaktu bersama bekas suaminya 20 tahun yang lalu tiba-tiba mengetuk hati nuraninya. Encik Rosdi seorang yang segak dan tampan. Penampilannya yang kemas sentiasa mengaburi pandangan anak-anak gadis yang sentiasa menagih perhatian dan belai-kasih seorang lelaki. Dia sangat bersyukur. Dalam ramai-ramai gadis, dia yang menjadi pilihan hati Rosdi untuk disunting sebagai isteri. Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Rumahtangga yang dibina dengan penuh kasih sayang kini telah hancur dilanda badai. Tinggallah dia seorang diri membesarkan Puteri Aisyah yang pada waktu itu baru berusia 5 tahun. Bekas suaminya itu ditangkap oleh pihak polis sewaktu sedang dalam perjalanan menyeludup dadah ke Negara Thailand.
Puan Norleha tidak mahu nasib malangnya dalam rumahtangga dialami pula oleh Puteri Aisyah. Dia mahu Puteri Aisyah bersuamikan anak orang berada dan menjawat jawatan yang berstatus tinggi. “Apa pun kata mummy, Puteri takkan kahwin dengan Syahrul Nizam”. Suara Puteri Aisyah yang tiba-tiba memecah kesunyian menghentikan sejenak lamunan Puan Norleha. Puteri bingkas bangun dan berlalu ke biliknya. Tidak mahu lagi dia bertekak dengan ibunya. Puan Norleha seorang yang tegas. Kehidupannya sebagai ibu tunggal menjadikan Puan Norleha seorang yang tega dan berhati waja. Setelah bekas suaminya itu dipenjarakan, Puan Norleha meneruskan kelansungan hidup dengan menceburi bidang perniagaan. Setelah 20 tahun mengalami jatuh bangun dalam dunia perniagaan, kini Puan Norleha boleh tersenyum lebar melihat empayer perniagaannya berdiri gah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Puteri Aisyah meneruskan hari-hari berikutnya seperti biasa. Kehidupan sebagai mahasiswi di Universiti Malaya memerlukan banyak tenaga dan komitmen yang tinggi. Walaupun rumahnya berdekatan dengan universiti, namun dia memilih untuk tinggal di asrama. Mudah untuk menelaah pelajaran, di samping bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan sukarelawan.
Syarlina melambai-lambaikan tangan kepada Puteri Aisyah. “Jom, Puteri, Sya belanja makan”. Syarlina rakan karib Puteri Aisyah mengajaknya ke kafe kampus. Syarlina mengangguk lesu. Masih terngiang-ngiang di benaknya permintaan ibunya untuk menerima pinangan Syahrul Nizam anak Datuk Karim. Puteri Aisyah memandang kelat makanan yang terhidang dihadapannya. “Ish, tak baik tau anak dara mengelamun depan makanan. Nanti kahwin dengan orang tua”, usik Syarlina.
“Aku dipaksa kahwin lah Sya!” Terbeliak biji mata Syarlina mendengar perkataan kahwin. “Serius Puteri?” Syarlina seolah-olah tidak percaya apa yang didengarnya. “Ada lagi rupanya kahwin paksa sekarang ni. Ingatkan zaman dulu je”, tingkah Syarlina. Puteri Aisyah menceritakan kehendak ibunya yang ingin berbesankan anak Datuk. Syarlina tersenyum. “Eh, kenapa senyum ni Sya? Jangan kata kau sokong pula keputusan mak aku”! Puteri Aisyah menempelak Syarlina yang sedari tadi tersenyum tatkala mendengar ceritanya.
“Eh, takdelah. Teringat pula kisah sewaktu Rasulullah SAW dilamar Siti Khadijah”. Wajah Puteri Aisyah kembali berseri. Mendengar nama Nabi Muhammad SAW menyebabkan hati Puteri Aisyah kembali segar. Sesegar kelopak mawar yang disiram embun pagi. “Kisah apa tu? Cerita lah”, bersungguh-sungguh suara lunak Puteri Aisyah meminta agar diceritakan kisah agung antara Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah.
“Siti Khadijah seorang wanita bangsawan. Beliau telah 2 kali berkahwin. Namun, kedua-dua suaminya telah meninggal dunia. Sebelum Siti Khadijah berkahwin dengan baginda Rasulullah SAW, telah banyak kali pinangan yang datang, namun semuanya telah ditolak. Sebetulnya, Siti Khadijah meminati seorang pemuda yang bernama Muhammad. Dia meminati Muhammad kerana keluhuran budi-pekerti baginda dan juga kebijaksanaan Nabi dalam menguruskan dan menjayakan misi dagang ke Syam. Tapi oleh kerana adat dan tradisi, Siti Khadijah terpaksa memendam perasaannya. Masakan perigi mencari timba. Lama kelamaan, perasaan Siti Khadijah terhadap Nabi semakin kuat. Beliau meminta Nafsiah untuk berjumpa dengan Nabi. Disuarakan keinginan Siti Khadijah secara berkias dan lemah lembut. Puteri tahu tak kenapa Nabi tidak meminang Siti Khadijah walaupun sebelum kedatangan Nafsiah, Siti Khadijah sendiri telah berjumpa dengan Nabi menyuarakan keinginannya?” “Tak tahu, kenapa Sya?” Puteri Aisyah bertanya dengan penuh semangat. Syarlina gembira melihat keterujaan sahabatnya itu. “Nabi mangatakan baginda tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin. Selain itu, baginda ragu-ragu sama-ada Siti Khadijah sudi menerimanya sedangkan beliau pernah menolak lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripada baginda Rasulullah SAW. Setelah mendengar penjelasan Nafsiah, Rasulullah SAW sangat terharu dengan permintaan Siti Khadijah dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan membawa khabar gembira”.
Terkedu seketika Puteri Aisyah mendengar kisah cinta yang sangat luar biasa ini. Namun dia tidak mengerti apa kaitan kisah peminangan Siti Khadijah dengan pinangan anak Datuk Karim. Puteri Aisyah meluahkan apa yang terpendam di hatinya.
“Macam ni Puteri”, Syarlina cuba menguraikan kekusutan yang bermain-main di kotak fikiran Puteri Aisyah. “Kisah peminangan Siti Khadijah tak jauh bezanya dengan peminangan kau ni. Ok, cuba Puteri fikir, Nabi Muhammad SAW ragu-ragu untuk meminang Siti Khadijah kerana beliau merupakan wanita bangsawan. Mungkin Nabi rasa baginda tidak layak, seorang pemuda biasa digandingkan dengan wanita bangsawan. Begitu jugalah kisah kau ni, Puteri. Kau tidak berani menerima pinangan anak Datuk kerana menyangka anak Datuk mempunyai taste yang tinggi dan mempunyai ramai kenalan perempuan. Cuba kau kenal dulu Syahrul Nizam. Lagi pun, tidak ada salahnya untuk kenal kan sebelum kahwin. Sebab itu lah adanya tempoh bertunang. Supaya bakal suami dan isteri dapat saling mengenal hati budi masing-masing. Tapi tentulah dengan mengikut batas-batas yang ditetapkan syarak. Puteri Aisyah terdiam seketika. Dia cuba menghadam apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu. Insya-Allah, dia sudah ada jawapan yang akan diberikan pada ibunya.
Syarlina mengiringi sahabat baiknya ke pelamin yang dihias indah dengan bunga rona putih dan pink. Syarlina mengerling wajah manis Puteri Aisyah yang anggun dengan persalinan baju pengantin rona biru muda. Syahrul Nizam juga begitu segak dengan baju melayu warna senondon dengan keris emas tersisip kemas di sampingnya. Rupanya Syahrul Nizam adalah sepupu Syarlina yang belajar di Universiti Al-Azhar, Fakulti Guaman Syariah. “Semoga perkahwinan sahabatku ini seindah dan seceria pelangi yang muncul di pagi hari”, bisik hati kecil Syarlina.