
Igauan itu kembali semula menganggu tidur Suria. Dilihatnya jam di dinding. “Baru pukul 2 pagi”, getus hati kecil Suria. Wajah yang seakan-akan miripnya kembali menerpa dalam minda Suria. “Siapakah gadis itu?. Kenapa kerap sangat aku mimpikan dia?. Dan yang paling pelik, kenapa gadis itu mirip benar dengannya?”. Persoalan demi persoalan mula bermain-main dalam benaknya. Setelah agak lama fikirannya melayang, Suria kembali lena diulik mimpi.
“Nenek… Ooo, nenek”. Suria memanggil nama Nek Timah. “Ooo, kat sini nenek ye”. Suria mengukir senyum pada Nek Timah yang sedang khusyuk menganyam ketupat di beranda. “Ha, kenapa Suria?”. Suria kagum melihat hasil anyaman ketupat neneknya yang begitu kemas. Di kampung, Nek Timah lah juara dalam menganyam ketupat. Dia tidak berkira bab harga. Yang penting, pelanggan berpuas-hati dengan hasil anyaman ketupatnya. “Ish, budak ni, orang tanya kenapa, mengelamun pula dia!”. Tersentak Suria mendengar suara serak basah neneknya itu. “Macam ni nek. Semalam, Suria mimpikan lagi gadis tu”. “Gadis mana pula ni?”. “Ala, gadis yang Suria beritahu sebelum ni”. “Ooo, gadis yang Suria kata mirip dengan rupa Suria tu?”. “Aah nek, gadis yang tu lah”.
Nek Timah terdiam seketika. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nek Timah ingat benar kata-kata anak lelakinya 19 tahun yang lepas. “Suria, saya jaga mak. Kamilah jaga anak kami yang satu lagi”. Nek Timah melihat sayu wajah comel Suria yang baru berusia 1 tahun. “Dah tak ada jalan penyelesaian lain ke, Ramlan?”. Ramlan melihat dinding kayu rumah ibunya yang agak jarang sehingga menampakkan cahaya dari luar. Seolah-olah begitulah keadaan perkahwinan dia dengan Kamilah. Umpama retak menanti belah. “Dia tak dapat terima kerja saya sebagai pengawal keselamatan. Lagi pun, salah saya juga mak. Saya menipu padanya sejak di awal perkenalan kami. Saya katakan saya berniaga dan ada kedai di bandar. Oleh sebab penipuan inilah, rumahtangga kami tak bahagia mak. Akhirnya, kami buat perjanjian. Saya akan lepaskan dia dengan syarat, Suria diserahkan kepada saya untuk dijaga”. “Astaghfirullah”. Nek Timah mengurut dadanya.
“Nenek… Nenek”. Lamunan Nek Timah tiba-tiba terhenti. Mata Nek Timah sedikit berkaca. Terdapat juraian air mata bergenang di kelopak mata Nek Timah. Dia dalam dilema. Perlukah dia memberitahu kisah silam Suria. Nek Timah risau penerimaan cucunya nanti. Bolehkah Suria menerima hakikat pahit hidupnya ini? “Nek, kenapa menangis?”. Suria pelik melihat reaksi neneknya. Nek Timah menyeka air mata dengan hujung lengan baju kurung kedah yang dipakainya. “Takdelah Suria. Ni ha, masuk habuk dalam mata nenek ni”. Pertanyaan Suria pada Nek Timah tidak terjawab. Bayangan gadis dalam mimpinya itu kembali semula bermain-main dalam fikirannya. Dia semakin ingin tahu siapakah gerangan gadis yang sentiasa muncul dalam mimpinya sejak akhir-akhir ini.
Cuti pertengahan semesternya hampir habis. Dalam masa beberapa hari lagi, dia akan mula melangkah ke semester baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terasa sekejap saja masa berlalu. Suria risau untuk meninggalkan Nek Timah seorang diri di kampung. Bagi Suria, Nek Timah lah segala-gala dalam hidupnya. Sejak kecil lagi, dia dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh. Dia pernah juga merasa sentuhan kasih seorang ayah. Namun, tidak lama. Waktu usianya baru menginjak 7 tahun, ayahnya menghilangkan diri tanpa khabar berita. Tinggallah dia bersama Nek Timah di kampung.
Suria melangkah masuk ke bilik neneknya. Harum bunga kemboja menyegarkan minda Suria yang kini sedang kusut memikirkan neneknya. Nek Timah amat menyukai haruman bunga kemboja. Diletakkan kuntuman bunga-bunga tersebut di dalam lipatan telekung solatnya. Hari ini, dia akan membersihkan bilik neneknya sebelum balik ke Bangi. Sedang dia membersihkan habuk di dalam almari laci pakaian neneknya, tiba-tiba sekeping surat yang agak usang terjatuh dari dalam kotak yang cuba dialihkannya. Suria mengutip surat tersebut dengan berhati-hati. Tulisan pada sampul surat tidak berapa jelas. Setelah diamatinya, terdapat tulisan nama ‘Kepada Anakanda Suria’ pada sampul tersebut. Suria semakin cuak. Siapa pula yang menghantar surat padanya? Kenapa Nek Timah menyembunyikan surat tersebut? Suria membuka lipatan surat yang berwarna biru pudar yang masih lagi elok tulisannya.
Assalamualaikum Anakanda Suria.
Sewaktu ibu menulis surat ini, anakanda Suria sedang lena diulik mimpi bersama Cahaya. Suria dan Cahaya mempunyai wajah yang begitu comel. Geram ibu melihat pipi gebu dan montel Suria dan Cahaya. Nama Suria dan Cahaya ibu pilih, supaya hidup kalian sentiasa disinari sinar kebahagiaan, seperti matahari yang sentiasa melimpahkan cahayanya buat seluruh alam. Ibu mendoakan agar hidup anakanda sentiasa bahagia.
Sewaktu ibu menulis surat ini, rumahtangga ibu sedang bergolak. Manusia mana yang tidak ingin hidup bahagia bersama pasangan masing-masing? Manusia mana yang tidak mahu melihat benih yang lahir hasil dari penyatuan cinta 2 insan membesar dihadapan mereka. Namun, ibu redha ketentuan Ilahi. Jika perpisahan adalah jalan yang terbaik, ibu pasrah dengan ketentuan Allah SWT.
Rumahtangga yang bahagia adalah syurga yang didahulukan di dunia. Rasa tenang dan bahagia sewaktu dalam rumahtangga itulah yang akan memantapkan lagi iman kita kepada Allah SWT. Syiar Islam begitu terserlah. Melihat isteri, senang hati kerana kesetiaannya. Melihat suami, senang hati kerana sikap bertanggungjawabnya. Namun, jika awal-awal lagi perkahwinan tanggungjawab suami telah terabai, di manakah syurga dalam perkahwinan itu? Ibu tidak salahkan ayahmu. Kerana hidayah itu milik Allah SWT.
Oleh kerana situasi semakin tertekan, kami mengambil haluan hidup masing-masing. Mengikut perjanjian ayahmu, ibu hanya akan diceraikan jika Suria diserahkan kepada dia untuk dijaga. Ibu bersetuju dengan keputusan itu. Walaupun hati ibu luluh untuk menyerahkan Suria, namun ibu tahu, ini saja solusi yang terbaik buat masa ini.
Jika Suria telah membaca surat ini, carilah ibu dan adik kembarmu, Cahaya. Ibu tidak pernah membencimu. Kami amat menyayangimu.
Salam sayang dari ibumu,
KAMILAH.
Titisan air mata berjurai dari kelopak mata Suria. Tiba-tiba, dia terasa sangat sebak. Segala teka-teki mimpinya kini telah terjawab. Rupa-rupanya, gadis yang muncul dalam mimpinya itu adalah kembarnya, Cahaya. Patutlah mirip benar wajah gadis itu dengannya. Malam itu, Suria tidak lena tidur. Bunyi cangkerik bersahut-sahutan seolah-olah menjadi orkestra alam yang membawa lagu pilu. Selepas mengetahui kebenaran tentang ibu dan kembarnya, Suria tidak terus bertanyakan neneknya. Petang tadi, Nek Timah pulang ke rumah dalam keadaan yang penat. Jualan anyaman ketupatnya masih berbaki banyak lagi. Dipegangnya erat-erat surat dari ibunya. Kerinduan Suria pada ibunya terlerai tatkala dia memegang surat itu. Suria bangkit dari perbaringannya. Dia menunaikan solat taubat dan sujud syukur. “Ya, Allah, semoga Kau mempertemukan aku dengan ibu dan kembarku. Aku amat merindui mereka, Ya, Allah”.
Cahaya matahari pagi menyapu lembut wajah Suria yang ceria. Sambil memasak, dia menyanyi lagu Dato’ Siti Nurhaliza, ‘Comel Si pipi merah’. “Wah, gembiranya cucu nenek”, Nek Timah menyapa Suria yang sedang ralit memasak. Suria berpaling ke arah Nek Timah. Dengan lembut, dia meraih kedua-dua tangan neneknya. “Nenek, saya dah tahu siapa ibu dan adik saya, nek”. Nek Timah cuba bersuara, lalu dengan segera Suria meletakkan jarinya pada mulut neneknya. Suria menunjukkan surat ibunya. “Nenek tak perlu terangkan saya apa-apa”. Suria memeluk badan kurus Nek Timah sambil membisikkan sesuatu ditelinganya, ” Terima kasih nek kerana membesarkan Suria dengan penuh kasih-sayang”. Nek Timah mengangguk-angguk sambil tersenyum.
Selama seminggu mereka membuat perancangan untuk bertemu. Pagi itu, burung-burung berkicau dengan riang, seolah-olah bergembira dengan penyatuan 3 jiwa yang telah terpisah sekian lama. Puan Kamilah memeluk erat Suria. Air mata gembira tak henti-henti mengalir membasahi kerudung biru yang dipakainya. Cahaya di sisi ibunya turut menangis. “Kak, Cahaya rasakan jiwa Cahaya kembali terisi. Selama ini, jiwa Cahaya terasa kosong. Seolah-olah, ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup Cahaya. Rupa-rupanya, kembar Cahaya lah pelengkap hidup Cahaya”. Mereka berpelukan dengan erat sekali. “Walaupun kita bertemu di penghujung rindu, namun kakak tetap bahagia kerana kita masih mampu lagi untuk mengukir kenangan bersama. Terima kasih Allah di atas nikmat-Mu ini”.