Sharing is caring. So, I love to write things that inspire me, and to share great places that I've been with my children. Apart from that, I also do books review, and reviews on places, things and products. Happy reading.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan berita apabila Bank Negara menaikkan kadar OPR dari 1.75% kepada 2.00%. Kenaikan OPR ini akan memberi kesan kepada kuasa beli yang ada pada rakyat Malaysia di mana mereka terpaksa membayar dengan harga yang agak mahal sedikit untuk sesuatu produk/perkhidmatan.
Sebagai contoh, seseorang itu terpaksa membayar pinjaman perumahan yang lebih sedikit berbanding dahulu setelah kenaikan OPR ini. Sebelum ini pun kita ada mendengar kebarangkalian berlaku inflasi; di mana harga barangan akan menjadi bertambah mahal. Sebenarnya, inflasi akan berlaku dalam jangka masa tertentu. Sebagai contoh, ibu-bapa kita dahulu dapat membeli makanan di sekolah dengan hanya berbekalkan duit 5 sen sahaja. Tapi kini, murid-murid di sekolah perlu membawa duit belanja sekurang-kurangnya RM2 untuk membeli di kantin. Mungkin kita akan bertanya kenapa hal ini berlaku. Ini kerana mata wang kertas yang kita ada sekarang hanya mempunyai nilai kerana jaminan sesebuah negara. Jika berlaku ketidakstabilan ekonomi pada sesebuah negara, sudah pasti kita dapat menjangkakan apa yang berlaku pada nilai duit kertas fiat tersebut. Justeru, kita memerlukan aset yang :
a. mempunyai nilai yang tetap pada waktu yang berbahaya tersebut.
b. mudah dibawa
c. mudah dicairkan.
Apakah aset itu? Tak lain tak bukan ianya adalah ’emas’. Jika berlaku keruntuhan kewangan dalam sesebuah negara, aset-aset yang ada dalam sistem kewangan tersebut seperti duit kertas, akaun simpanan, simpanan semasa, saham, unit amanah, insurans dan money markets akan turut runtuh juga. Jadi, kita memerlukan sesuatu aset yang di luar dari sistem kewangan untuk melindungi kita iaitu ’emas’ dan ‘perak’. Emas dan perak juga adalah duit dengan sendirinya. Oleh itu, emas adalah penyimpan nilai yang terbaik dan dapat melindungi kita dari kesan inflasi.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bagi anda yang sedang mencari cara-cara untuk menambahkan pendapatan, mungkin pelaburan dalam bidang hartanah dapat merealisasikan impian anda. Begitu juga bagi mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan. Pelaburan dalam bidang hartanah menjanjikan suasana pekerjaan yang mencabar dan lumayan. Di sini Ida senaraikan 5 cara mendapatkan pendapatan dalam pelaburan hartanah.
1. Bermula sebagai perunding hartanah.
Dengan menjadi seorang perunding hartanah, anda sebenarnya telah melibatkan diri secara tidak lansung dalam pengurusan dan jual-beli hartanah. Ini akan memberi pendedahan awal kepada anda dari segi bagaimana untuk mendapatkan hartanah, analisa hartanah dan sistem perundangan. Bermula sebagai seorang perunding hartanah adalah merupakan pelaburan pada diri sendiri, rangkaian anda dan juga ilmu pengetahuan bagi menyediakan diri anda dalam karier sebagai seorang pelabur hartanah.
2. Sewaan dalam jangka masa pendek (Short Term Rental).
Anda boleh menggunakan platform seperti Airbnb dan homestay untuk menyewakan hartanah anda atau orang lain. Airbnb yang bertindak sebagai ‘host’ akan menyaring dahulu bakal penyewa. Sebagai tambahan, Airbnb menyediakan jaminan perlindungan terhadap sebarang kerosakan yang timbul daripada sewaan jangka- masa pendek tersebut. Terdapat ramai mereka yg di luar sana mempunyai banyak hartanah, namun tidak mempunyai masa dan kepakaran untuk mendapatkan penyewa dalam jangka-masa pendek (short term rental). Dengan ini, anda boleh menawarkan perkhidmatan tersebut kepada mereka; di samping mendapat peluang untuk menjana pendapatan tambahan.
3. Sewaan dalam jangka-masa panjang.
Terdapat 2 cara untuk mendapatkan duit melalui sewaan dalam jangka-masa panjang :
a. Melalui sewaan.
Selepas ditolak gadaian, yuran penyelenggaraan, kos-kos tambahan yang lain; selebihnya akan menjadi keuntungan anda. Biasanya jumlah keuntungan yang dapat tidaklah begitu banyak. Dalam kebanyakan kes, boleh menjadi negatif. Negatif di sini bermaksud, pendapatan sewaan tidak dapat menampung kos memiliki hartanah tersebut. Walau bagaimanapun, kelemahan kaedah ini dapat di atasi dengan peningkatan nilai hartanah.
b. Melalui kenaikan nilai hartanah.
Dalam jangka-masa panjang, nilai sesuatu hartanah akan mengalami peningkatan. Justeru, anda akan mendapat keuntungan melalui peningkatan nilai hartanah tersebut.
4. House Flipping yang profesional.
Untuk menjadi ‘house flippers’ yang profesional, seseorang itu perlu mempunyai kelajuan dalam ‘flip’ sesuatu rumah. Ramai daripada profesional ‘house flippers’ yang sudah pun mempunyai pembeli sedia ada sebelum mereka membeli rumah yang mereka nak ‘flip’. Ini kerana mereka mempunyai ‘network’ / rangkaian. Mereka mempunyai rangkaian pelabur hartanah yang bagus yang akan membeli jika pelaburan yang ditawarkan adalah menarik. Untuk menjadi ‘flipper’ yang profesional juga, seseorang itu perlu mempastikan yang keuntungan dibuat sewaktu membeli hartanah, dan bukan semasa menjualnya. Ini bermakna anda perlu mempunyai kemahiran berunding yang cemerlang untuk menjana keuntungan yang lebih banyak. Terdapat situasi-situasi tertentu yang menjadikan rumah dapat dibeli di bawah nilai pasaran; contohnya mereka yang kehilangan pekerjaan, berlaku penceraian atau pun berhijrah ke luar negara.
5. Melabur dalam REITs (Real Estate Investment Trust).
REIT dicipta apabila sesebuah syarikat menggunakan duit pelabur untuk membeli dan menguruskan hartanah yang menjana pendapatan. REIT membolehkan anda untuk melabur dalam hartanah tanpa perlu memiliki hartanah tersebut. Syarikat-syarikat tersebut memiliki hartanah komersial seperti bangunan pejabat, ‘retail spaces’, apartmen dan hotel. REITs boleh membayar dividen yang tinggi, yang menjadikan ianya adalah pelaburan yang tipikal dalam persaraan. Yang penting, REITs mudah dicairkan (highly liquid) kerana ianya adalah ‘exchange-traded’. Dalam kata lain, anda tidak memerlukan perunding hartanah dan juga penukaran hak-milik bagi membolehkan anda mendapatkan wang daripada pelaburan anda. Pelabur yang tidak memerlukan pendapatan secara tetap boleh secara automatik melaburkan semula duit tersebut bagi meningkatkan pelaburan mereka. Banyak REITs yang mempunyai kepakaran dalam pelaburan korporat seperti bangunan pejabat2 yang besar, pasar raya dan hotel. Ini membolehkan pelabur kecil-kecilan memiliki sebahagian kecil portfolio hartanah yang signifikan.
Walau bagaimana pun, kekurangan pelaburan dalam REITs ialah anda tidak boleh memiliki hartanah tersebut secara fizikal. Anda juga tidak mempunyai pengaruh atau dapat membuat sebarang kata putus bagi pembelian atau pilihan penjualan. Anda hanya mendapat dividen sahaja daripada pelaburan REITs.
Secara kesimpulannya, potensi dalam pelaburan hartanah adalah amat luas. Fikirkan tentang berapa banyak masa yang anda ada; berapa banyak modal yang ingin anda laburkan dan sama ada anda mahu menjadi mereka yang akan berunding tentang isu-isu ‘household’ apabila ianya muncul. Jika anda tidak mempunyai kemahiran DIY, pertimbangkan untuk melabur dalam hartanah melalui REITs. Jika anda tidak lagi mempunyai modal, anda sentiasa boleh mempertimbangkan untuk menjadi perunding hartanah, yang akan memberikan anda pengalaman dalam dunia hartanah.
Apa sahaja yang anda lakukan, pastikan anda mendengar kata hati dan minda anda. Jika kedua-duanya serasi, maka ianya adalah keputusan terbaik buat anda. Selamat Maju Jaya!
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terdapat pelbagai jenis prepaid yang berada di pasaran. Namun, tidak semua prepaid yang ada sesuai dan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada kita. Sebelum ini, Ida ada menggunakan satu pelan post-paid. Tapi oleh kerana masalah teknikal yang berlaku menyebabkan Ida merancang untuk bertukar semula kepada pelan prepaid.
Di sini Ida senaraikan jenis-jenis pelan prepaid berserta dengan kelebihannya.
Jika anda hanya mahukan data.
Celcom Internet Pass
Harga ➡️ RM30
Data ➡️ 5 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Youtube tanpa had secara percuma dari pukul 11 malam hingga 7 pagi.
2. Hotlink 356 internet
Harga ➡️ RM25
Data ➡️ 10 GB/60 hari
Kelebihannya ➡️ Internet berkelajuan tinggi untuk 365 hari.
3. Digi Next 35
Harga ➡️ RM35
Data ➡️ 30 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Panggilan tanpa had ke semua rangkaian.
4. U Mobile UMI 30
Harga ➡️ RM30
Data ➡️ 7.5 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Panggilan percuma ke U Mobile.
Jika anda jenis yang suka bersosial.
Bagi mereka yang kerap membuka aplikasi Facebook, Instagram, Whatsapp, maka list di bawah ini adalah pelan yang terbaik untuk anda.
U Mobile Giler Talk Prepaid.
Harga ➡️ RM25
Data ➡️ 1 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Data tanpa had untuk 10 aplikasi termasuk PUBG.
2. Digi Raja Combo 30
Harga ➡️ RM30
Data ➡️ 6 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Data tanpa had untuk Facebook, IG, TikTok dan lain-lain.
3. Hotlink Prepaid Unlimited
Harga ➡️ RM35
Data ➡️ 3 MBPS/30 hari
Kelebihannya ➡️ Panggilan tanpa had ke semua rangkaian.
Jika anda suka menonton video.
Video sememangnya memakan banyak data. Oleh itu, apa kata anda dapatkan data tanpa had bagi menonton video.
DIGI Raja Kombo
Harga ➡️ RM15
Data ➡️ 0.5 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Data tanpa had setiap hari untuk Youtube.
2. Tune Talk
Harga ➡️ RM28
Data ➡️ 16 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Panggilan, messaging tanpa had ke Tune Talk dan 500 MB/sehari untuk video.
3. U Mobile Epikkk Video 3
Harga ➡️ RM3
Data ➡️ 3 GB/3 hari
Kelebihannya ➡️ 3 GB untuk Youtube dan Tik Tok.
Anda mahukan data yang boleh bertahan lama.
Bagi anda yang tidak menggunakan data yang yang banyak setiap hari, tetapi mahukan ianya bertahan lama, mungkin anda boleh mempertimbangkan pelan prepaid seperti di dalam senarai di bawah.
Hotlink
Harga ➡️ RM25
Data ➡️ 10 GB/365 hari
Kelebihannya ➡️ Sim yang baru dengan RM2 kredit.
2. Tune Talk
Harga ➡️ RM200
Data ➡️ 130 GB/365 hari
Kelebihannya ➡️ Panggilan tanpa had ke Tune Talk.
3. Digi NEXT 15
Harga ➡️ RM15
Data ➡️ 3 GB/30 hari
Kelebihannya ➡️ Twitter, FB dan IG tanpa had.
Jika anda tidak kisah mempunyai sim kad yang baru, maka Hotlink adalah pilihan yang hebat untuk harga sekadar RM25.
Berdasarkan senarai di atas, Ida rasa pelan yang sesuai untuk kegunaan ida ialah Digi NEXT 35. Ida memerlukan penggunaan data yang minimum apabila berada di luar rumah dan panggilan tanpa had ke semua rangkaian. Alhamdulillah, di rumah Ida sudah mempunyai pelan Unifi Home. So, penggunaan data dan menonton tv dan video sudah dapat dilakukan di dalam rumah.
Buat pembaca yang masih keliru pelan prepaid yang manakah terbaik untuk mereka, jawapannya adalah terletak kepada kegunaan dan kecenderungan masing-masing. Sebagai peringatan, apabila memilih pelan anda, jangan lupa tentang liputan (coverage), kelajuan data (data speeds) dan juga khidmat pelanggan diaorang. Kita tidak mahu pelan yang dibeli rupa-rupanya tidak mempunyai ‘coverage’ di kawasan masing-masing. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini, Ida nak masak resepi yang disukai anak-anak Ida. Asal ada spaghetti je, memang mereka suka. Nak masak spaghetti ni tak lah susah. Untuk resepi ini, Ida rujuk youtube che nom.
Bahan-bahannya ialah:
500 gram spaghetti
Sos prego cendawan carbonara
Cendawan butang (7 – 8 biji)
Lada benggala (merah dan hijau)
Sedikit udang
1/2 biji bawang holland
3 ulas bawang putih
Sedikit serbuk parsley
Sedikit Italian herbs
Sedikit susu full cream
1 keping keju cheddar
Bawang holland dan bawang putih dicincang halus. Spaghetti direbus dahulu dalam air panas yg dicampur dengan garam (3 sudu besar).
Cara-caranya ialah:
Tumis bawang holland dalam sedikit minyak zaitun. Setelah agak kekuningan, masukkan 3 ulas bawang putih. Goreng seketika hingga berbau wangi.
Masukkan lada benggala. Jangan masak terlalu lama; nanti layu pula lada benggala. Spaghetti akan rasa lebih sedap jika lada benggala masih rangup ketika dimakan.
Masukkan udang. Masak seketika. Kemudian, masukkan sedikit serbuk lada hitam dan serbuk parley. Masukkan cendawan.
Masukkan sos carbonara cendawan. Masukkan full cream sediki untuk mengelakkan sos carbonara terlalu pekat.
Masukkan 1 keping cheddar untuk menjadikan rasa sos carbonara lebih lemak dan berkrim.
Taburkan daun parsley segar di atas sos carbonara.
Sos carbonara cendawan sedia dihidangkan bersama spaghetti yang telah direbus
Khasiat penggunaan cendawan dalam resepi.
Cendawan dapat meningkatkan sistem kekebalan badan dan melindungi tubuh daripada pencerobohan asing seperti virus. Tumbuhan ini dipercayai membantu meningkatkan aktiviti sel yang bertanggungjawab untuk mempertahankan tubuh kita terhadap pencerobohan asing.
Cendawan salah satu sumber vitamin D. Vitamin D penting dalam meningkatkan mood dan membantu dalam membina dan mengekalkan tulang yang sihat.
Vitamin D dalam cendawan memainkan peranan yang penting dalam memudahkan penyerapan vitamin dan mineral lain.
Igauan itu kembali semula menganggu tidur Suria. Dilihatnya jam di dinding. “Baru pukul 2 pagi”, getus hati kecil Suria. Wajah yang seakan-akan miripnya kembali menerpa dalam minda Suria. “Siapakah gadis itu?. Kenapa kerap sangat aku mimpikan dia?. Dan yang paling pelik, kenapa gadis itu mirip benar dengannya?”. Persoalan demi persoalan mula bermain-main dalam benaknya. Setelah agak lama fikirannya melayang, Suria kembali lena diulik mimpi.
“Nenek… Ooo, nenek”. Suria memanggil nama Nek Timah. “Ooo, kat sini nenek ye”. Suria mengukir senyum pada Nek Timah yang sedang khusyuk menganyam ketupat di beranda. “Ha, kenapa Suria?”. Suria kagum melihat hasil anyaman ketupat neneknya yang begitu kemas. Di kampung, Nek Timah lah juara dalam menganyam ketupat. Dia tidak berkira bab harga. Yang penting, pelanggan berpuas-hati dengan hasil anyaman ketupatnya. “Ish, budak ni, orang tanya kenapa, mengelamun pula dia!”. Tersentak Suria mendengar suara serak basah neneknya itu. “Macam ni nek. Semalam, Suria mimpikan lagi gadis tu”. “Gadis mana pula ni?”. “Ala, gadis yang Suria beritahu sebelum ni”. “Ooo, gadis yang Suria kata mirip dengan rupa Suria tu?”. “Aah nek, gadis yang tu lah”.
Nek Timah terdiam seketika. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nek Timah ingat benar kata-kata anak lelakinya 19 tahun yang lepas. “Suria, saya jaga mak. Kamilah jaga anak kami yang satu lagi”. Nek Timah melihat sayu wajah comel Suria yang baru berusia 1 tahun. “Dah tak ada jalan penyelesaian lain ke, Ramlan?”. Ramlan melihat dinding kayu rumah ibunya yang agak jarang sehingga menampakkan cahaya dari luar. Seolah-olah begitulah keadaan perkahwinan dia dengan Kamilah. Umpama retak menanti belah. “Dia tak dapat terima kerja saya sebagai pengawal keselamatan. Lagi pun, salah saya juga mak. Saya menipu padanya sejak di awal perkenalan kami. Saya katakan saya berniaga dan ada kedai di bandar. Oleh sebab penipuan inilah, rumahtangga kami tak bahagia mak. Akhirnya, kami buat perjanjian. Saya akan lepaskan dia dengan syarat, Suria diserahkan kepada saya untuk dijaga”. “Astaghfirullah”. Nek Timah mengurut dadanya.
“Nenek… Nenek”. Lamunan Nek Timah tiba-tiba terhenti. Mata Nek Timah sedikit berkaca. Terdapat juraian air mata bergenang di kelopak mata Nek Timah. Dia dalam dilema. Perlukah dia memberitahu kisah silam Suria. Nek Timah risau penerimaan cucunya nanti. Bolehkah Suria menerima hakikat pahit hidupnya ini? “Nek, kenapa menangis?”. Suria pelik melihat reaksi neneknya. Nek Timah menyeka air mata dengan hujung lengan baju kurung kedah yang dipakainya. “Takdelah Suria. Ni ha, masuk habuk dalam mata nenek ni”. Pertanyaan Suria pada Nek Timah tidak terjawab. Bayangan gadis dalam mimpinya itu kembali semula bermain-main dalam fikirannya. Dia semakin ingin tahu siapakah gerangan gadis yang sentiasa muncul dalam mimpinya sejak akhir-akhir ini.
Cuti pertengahan semesternya hampir habis. Dalam masa beberapa hari lagi, dia akan mula melangkah ke semester baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terasa sekejap saja masa berlalu. Suria risau untuk meninggalkan Nek Timah seorang diri di kampung. Bagi Suria, Nek Timah lah segala-gala dalam hidupnya. Sejak kecil lagi, dia dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh. Dia pernah juga merasa sentuhan kasih seorang ayah. Namun, tidak lama. Waktu usianya baru menginjak 7 tahun, ayahnya menghilangkan diri tanpa khabar berita. Tinggallah dia bersama Nek Timah di kampung.
Suria melangkah masuk ke bilik neneknya. Harum bunga kemboja menyegarkan minda Suria yang kini sedang kusut memikirkan neneknya. Nek Timah amat menyukai haruman bunga kemboja. Diletakkan kuntuman bunga-bunga tersebut di dalam lipatan telekung solatnya. Hari ini, dia akan membersihkan bilik neneknya sebelum balik ke Bangi. Sedang dia membersihkan habuk di dalam almari laci pakaian neneknya, tiba-tiba sekeping surat yang agak usang terjatuh dari dalam kotak yang cuba dialihkannya. Suria mengutip surat tersebut dengan berhati-hati. Tulisan pada sampul surat tidak berapa jelas. Setelah diamatinya, terdapat tulisan nama ‘Kepada Anakanda Suria’ pada sampul tersebut. Suria semakin cuak. Siapa pula yang menghantar surat padanya? Kenapa Nek Timah menyembunyikan surat tersebut? Suria membuka lipatan surat yang berwarna biru pudar yang masih lagi elok tulisannya.
Assalamualaikum Anakanda Suria.
Sewaktu ibu menulis surat ini, anakanda Suria sedang lena diulik mimpi bersama Cahaya. Suria dan Cahaya mempunyai wajah yang begitu comel. Geram ibu melihat pipi gebu dan montel Suria dan Cahaya. Nama Suria dan Cahaya ibu pilih, supaya hidup kalian sentiasa disinari sinar kebahagiaan, seperti matahari yang sentiasa melimpahkan cahayanya buat seluruh alam. Ibu mendoakan agar hidup anakanda sentiasa bahagia.
Sewaktu ibu menulis surat ini, rumahtangga ibu sedang bergolak. Manusia mana yang tidak ingin hidup bahagiabersama pasangan masing-masing? Manusia mana yang tidak mahu melihat benih yang lahir hasil dari penyatuan cinta 2 insan membesar dihadapan mereka. Namun, ibu redha ketentuan Ilahi. Jika perpisahan adalah jalan yang terbaik, ibu pasrah dengan ketentuan Allah SWT.
Rumahtangga yang bahagia adalah syurga yang didahulukan di dunia. Rasa tenang dan bahagia sewaktu dalam rumahtangga itulah yang akan memantapkan lagi iman kita kepada Allah SWT. Syiar Islam begitu terserlah. Melihat isteri, senang hati kerana kesetiaannya. Melihat suami, senang hati kerana sikap bertanggungjawabnya. Namun, jika awal-awal lagi perkahwinan tanggungjawab suami telah terabai, di manakah syurga dalam perkahwinan itu? Ibu tidak salahkan ayahmu.Kerana hidayah itu milik Allah SWT.
Oleh kerana situasi semakin tertekan, kami mengambil haluan hidup masing-masing. Mengikut perjanjian ayahmu, ibu hanya akan diceraikan jika Suria diserahkan kepada dia untuk dijaga. Ibu bersetuju dengan keputusan itu. Walaupun hati ibu luluh untuk menyerahkan Suria, namun ibu tahu, ini saja solusi yang terbaik buat masa ini.
Jika Suria telah membaca surat ini, carilah ibu dan adik kembarmu, Cahaya. Ibu tidak pernah membencimu. Kami amat menyayangimu.
Salam sayang dari ibumu,
KAMILAH.
Titisan air mata berjurai dari kelopak mata Suria. Tiba-tiba, dia terasa sangat sebak. Segala teka-teki mimpinya kini telah terjawab. Rupa-rupanya, gadis yang muncul dalam mimpinya itu adalah kembarnya, Cahaya. Patutlah mirip benar wajah gadis itu dengannya. Malam itu, Suria tidak lena tidur. Bunyi cangkerik bersahut-sahutan seolah-olah menjadi orkestra alam yang membawa lagu pilu. Selepas mengetahui kebenaran tentang ibu dan kembarnya, Suria tidak terus bertanyakan neneknya. Petang tadi, Nek Timah pulang ke rumah dalam keadaan yang penat. Jualan anyaman ketupatnya masih berbaki banyak lagi. Dipegangnya erat-erat surat dari ibunya. Kerinduan Suria pada ibunya terlerai tatkala dia memegang surat itu. Suria bangkit dari perbaringannya. Dia menunaikan solat taubat dan sujud syukur. “Ya, Allah, semoga Kau mempertemukan aku dengan ibu dan kembarku. Aku amat merindui mereka, Ya, Allah”.
Cahaya matahari pagi menyapu lembut wajah Suria yang ceria. Sambil memasak, dia menyanyi lagu Dato’ Siti Nurhaliza, ‘Comel Si pipi merah’. “Wah, gembiranya cucu nenek”, Nek Timah menyapa Suria yang sedang ralit memasak. Suria berpaling ke arah Nek Timah. Dengan lembut, dia meraih kedua-dua tangan neneknya. “Nenek, saya dah tahu siapa ibu dan adik saya, nek”. Nek Timah cuba bersuara, lalu dengan segera Suria meletakkan jarinya pada mulut neneknya. Suria menunjukkan surat ibunya. “Nenek tak perlu terangkan saya apa-apa”. Suria memeluk badan kurus Nek Timah sambil membisikkan sesuatu ditelinganya, ” Terima kasih nek kerana membesarkan Suria dengan penuh kasih-sayang”. Nek Timah mengangguk-angguk sambil tersenyum.
Selama seminggu mereka membuat perancangan untuk bertemu. Pagi itu, burung-burung berkicau dengan riang, seolah-olah bergembira dengan penyatuan 3 jiwa yang telah terpisah sekian lama. Puan Kamilah memeluk erat Suria. Air mata gembira tak henti-henti mengalir membasahi kerudung biru yang dipakainya. Cahaya di sisi ibunya turut menangis. “Kak, Cahaya rasakan jiwa Cahaya kembali terisi. Selama ini, jiwa Cahaya terasa kosong. Seolah-olah, ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup Cahaya. Rupa-rupanya, kembar Cahaya lah pelengkap hidup Cahaya”. Mereka berpelukan dengan erat sekali. “Walaupun kita bertemu di penghujung rindu, namun kakak tetap bahagia kerana kita masih mampu lagi untuk mengukir kenangan bersama. Terima kasih Allah di atas nikmat-Mu ini”.
Puteri Aisyah melemparkan pandangannya ke luar jendela. Suasana alam yang baru sahaja dibasahi hujan sangat mendamaikan hatinya yang kini sedang dilanda gundah. Kelihatan pelangi terbentuk di langit awan, mengindahkan lagi suasana alam di kala itu.
“Alangkah bagusnya kalau hatiku juga ceria, seceria alam yang kulihat ini”, getus hati kecil Puteri Aisyah. “Puteri dah besar mummy. Mummy tak boleh paksa Puteri untuk bertunang dengan dia!” Puteri Aisyah memandang dengan bersungguh-sungguh wajah awet muda ibunya yang telah berusia 50 tahun. Puan Norleha tidak membalas pandangan anak tunggalnya itu. Dia memegang cangkir cawan kopi dengan berhati-hati. Dihirupnya kopi yang masih berbaki di dalamnya dengan penuh nikmat. Protes Puteri Aisyah seolah-olah tidak memberi kesan padanya.
“Mummy buat semua ini untuk kebaikan Puteri juga. Syahrul Nizam tu dah lah anak Datuk, berjaya pula tu. Bahagia hidup Puteri nanti”. “Bahagia kata mummy! Mummy tak kenal Syahrul Nizam tu. Mummy hanya kenal ayahnya saja. Biasanya kalau anak Datuk ni ramai peminat. Perempuan keliling pinggang. Perkataan ‘keliling pinggang’ sengaja dikuatkan agar Puan Norleha dapat menangkap butir bicaranya dengan jelas. Puan Norleha terdiam seketika. Kenangan sewaktu bersama bekas suaminya 20 tahun yang lalu tiba-tiba mengetuk hati nuraninya. Encik Rosdi seorang yang segak dan tampan. Penampilannya yang kemas sentiasa mengaburi pandangan anak-anak gadis yang sentiasa menagih perhatian dan belai-kasih seorang lelaki. Dia sangat bersyukur. Dalam ramai-ramai gadis, dia yang menjadi pilihan hati Rosdi untuk disunting sebagai isteri. Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Rumahtangga yang dibina dengan penuh kasih sayang kini telah hancur dilanda badai. Tinggallah dia seorang diri membesarkan Puteri Aisyah yang pada waktu itu baru berusia 5 tahun. Bekas suaminya itu ditangkap oleh pihak polis sewaktu sedang dalam perjalanan menyeludup dadah ke Negara Thailand.
Puan Norleha tidak mahu nasib malangnya dalam rumahtangga dialami pula oleh Puteri Aisyah. Dia mahu Puteri Aisyah bersuamikan anak orang berada dan menjawat jawatan yang berstatus tinggi. “Apa pun kata mummy, Puteri takkan kahwin dengan Syahrul Nizam”. Suara Puteri Aisyah yang tiba-tiba memecah kesunyian menghentikan sejenak lamunan Puan Norleha. Puteri bingkas bangun dan berlalu ke biliknya. Tidak mahu lagi dia bertekak dengan ibunya. Puan Norleha seorang yang tegas. Kehidupannya sebagai ibu tunggal menjadikan Puan Norleha seorang yang tega dan berhati waja. Setelah bekas suaminya itu dipenjarakan, Puan Norleha meneruskan kelansungan hidup dengan menceburi bidang perniagaan. Setelah 20 tahun mengalami jatuh bangun dalam dunia perniagaan, kini Puan Norleha boleh tersenyum lebar melihat empayer perniagaannya berdiri gah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Puteri Aisyah meneruskan hari-hari berikutnya seperti biasa. Kehidupan sebagai mahasiswi di Universiti Malaya memerlukan banyak tenaga dan komitmen yang tinggi. Walaupun rumahnya berdekatan dengan universiti, namun dia memilih untuk tinggal di asrama. Mudah untuk menelaah pelajaran, di samping bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan sukarelawan.
Syarlina melambai-lambaikan tangan kepada Puteri Aisyah. “Jom, Puteri, Sya belanja makan”. Syarlina rakan karib Puteri Aisyah mengajaknya ke kafe kampus. Syarlina mengangguk lesu. Masih terngiang-ngiang di benaknya permintaan ibunya untuk menerima pinangan Syahrul Nizam anak Datuk Karim. Puteri Aisyah memandang kelat makanan yang terhidang dihadapannya. “Ish, tak baik tau anak dara mengelamun depan makanan. Nanti kahwin dengan orang tua”, usik Syarlina.
“Aku dipaksa kahwin lah Sya!” Terbeliak biji mata Syarlina mendengar perkataan kahwin. “Serius Puteri?” Syarlina seolah-olah tidak percaya apa yang didengarnya. “Ada lagi rupanya kahwin paksa sekarang ni. Ingatkan zaman dulu je”, tingkah Syarlina. Puteri Aisyah menceritakan kehendak ibunya yang ingin berbesankan anak Datuk. Syarlina tersenyum. “Eh, kenapa senyum ni Sya? Jangan kata kau sokong pula keputusan mak aku”! Puteri Aisyah menempelak Syarlina yang sedari tadi tersenyum tatkala mendengar ceritanya.
“Eh, takdelah. Teringat pula kisah sewaktu Rasulullah SAW dilamar Siti Khadijah”. Wajah Puteri Aisyah kembali berseri. Mendengar nama Nabi Muhammad SAW menyebabkan hati Puteri Aisyah kembali segar. Sesegar kelopak mawar yang disiram embun pagi. “Kisah apa tu? Cerita lah”, bersungguh-sungguh suara lunak Puteri Aisyah meminta agar diceritakan kisah agung antara Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah.
“Siti Khadijah seorang wanita bangsawan. Beliau telah 2 kali berkahwin. Namun, kedua-dua suaminya telah meninggal dunia. Sebelum Siti Khadijah berkahwin dengan baginda Rasulullah SAW, telah banyak kali pinangan yang datang, namun semuanya telah ditolak. Sebetulnya, Siti Khadijah meminati seorang pemuda yang bernama Muhammad. Dia meminati Muhammad kerana keluhuran budi-pekerti baginda dan juga kebijaksanaan Nabi dalam menguruskan dan menjayakan misi dagang ke Syam. Tapi oleh kerana adat dan tradisi, Siti Khadijah terpaksa memendam perasaannya. Masakan perigi mencari timba. Lama kelamaan, perasaan Siti Khadijah terhadap Nabi semakin kuat. Beliau meminta Nafsiah untuk berjumpa dengan Nabi. Disuarakan keinginan Siti Khadijah secara berkias dan lemah lembut. Puteri tahu tak kenapa Nabi tidak meminang Siti Khadijah walaupun sebelum kedatangan Nafsiah, Siti Khadijah sendiri telah berjumpa dengan Nabi menyuarakan keinginannya?” “Tak tahu, kenapa Sya?” Puteri Aisyah bertanya dengan penuh semangat. Syarlina gembira melihat keterujaan sahabatnya itu. “Nabi mangatakan baginda tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin. Selain itu, baginda ragu-ragu sama-ada Siti Khadijah sudi menerimanya sedangkan beliau pernah menolak lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripada baginda Rasulullah SAW. Setelah mendengar penjelasan Nafsiah, Rasulullah SAW sangat terharu dengan permintaan Siti Khadijah dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan membawa khabar gembira”.
Terkedu seketika Puteri Aisyah mendengar kisah cinta yang sangat luar biasa ini. Namun dia tidak mengerti apa kaitan kisah peminangan Siti Khadijah dengan pinangan anak Datuk Karim. Puteri Aisyah meluahkan apa yang terpendam di hatinya.
“Macam ni Puteri”, Syarlina cuba menguraikan kekusutan yang bermain-main di kotak fikiran Puteri Aisyah. “Kisah peminangan Siti Khadijah tak jauh bezanya dengan peminangan kau ni. Ok, cuba Puteri fikir, Nabi Muhammad SAW ragu-ragu untuk meminang Siti Khadijah kerana beliau merupakan wanita bangsawan. Mungkin Nabi rasa baginda tidak layak, seorang pemuda biasa digandingkan dengan wanita bangsawan. Begitu jugalah kisah kau ni, Puteri. Kau tidak berani menerima pinangan anak Datuk kerana menyangka anak Datuk mempunyai taste yang tinggi dan mempunyai ramai kenalan perempuan. Cuba kau kenal dulu Syahrul Nizam. Lagi pun, tidak ada salahnya untuk kenal kan sebelum kahwin. Sebab itu lah adanya tempoh bertunang. Supaya bakal suami dan isteri dapat saling mengenal hati budi masing-masing. Tapi tentulah dengan mengikut batas-batas yang ditetapkan syarak. Puteri Aisyah terdiam seketika. Dia cuba menghadam apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu. Insya-Allah, dia sudah ada jawapan yang akan diberikan pada ibunya.
Syarlina mengiringi sahabat baiknya ke pelamin yang dihias indah dengan bunga rona putih dan pink. Syarlina mengerling wajah manis Puteri Aisyah yang anggun dengan persalinan baju pengantin rona biru muda. Syahrul Nizam juga begitu segak dengan baju melayu warna senondon dengan keris emas tersisip kemas di sampingnya. Rupanya Syahrul Nizam adalah sepupu Syarlina yang belajar di Universiti Al-Azhar, Fakulti Guaman Syariah. “Semoga perkahwinan sahabatku ini seindah dan seceria pelangi yang muncul di pagi hari”, bisik hati kecil Syarlina.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semalam semasa ke pasar raya untuk membeli barang dapur, Ida ada beli sotong yang agak besar dan ‘fresh’. Sotong sekarang ni agak mahal ye. Apa pun, sebab teringin sangat nak makan sotong, pejam mata je lah masa nak beli.
So, hari ini Ida nak kongsi resepi yang menjadi favourite anak-anak Ida; ‘Sotong 3 Rasa’. Bahan-bahan untuk menyediakan resepi ni pun simple sangat.
Ha, itu je lah bahan-bahannya, termasuk lah sotong yang menjadi star dalam masakan Ida hari ini.
I
Yang ni yang dah siap dipotong.🙂
Ok, jom kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk buat sotong 3 rasa ni.
6 – 8 ekor sotong~ dipotong bulat
1 batang serai~ dititik
2 ulas bawang putih~ dititik
2 – 3 biji cili padi~ dipotong halus
1/2 biji bawang besar~ dipotong dadu
1 sudu besar sos ikan
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar cuka
1 sudu kecil pati ikan bilis
2 sudu besar gula
1 helai daun limau purut.
Sedikit minyak untuk menumis
Sedikit air
Ok, jom kita lihat pula cara-cara nak masak.
~ Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang besar, cili padi, daun limau purut, bawang putih dan serai sehingga wangi.
~ Kemudian, masukkan sos tiram, cuka dan sos ikan. Kacau selama 2 minit.
~ Masukkan pula sotong, serbuk pati ikan bilis, gula dan sedikit air. Kacau sehingga sotong masak.
~ Sedia untuk dihidangkan.
Resepi ini memang mudah untuk disediakan. Rasanya juga sedap. Recommended sangat untuk ibu-ibu yang sentiasa mengejar waktu untuk menguruskan rumahtangga. Selamat mencuba.
Covid-19,
Tika awal kemunculanmu,
Aku tidak mengerti apa-apa,
Apa itu Covid-19?
Yang aku tahu,
Kau berasal dari Wuhan,
Yang aku tahu,
Kau terhasil dari percampuran,
Darah binatang eksotik,
Biawak... buaya... kelawar...,
Merak dan sebagainya.
Kini,
Kau telah menjarah segenap pelusuk dunia,
Berjuta-juta manusia kehilangan nyawa,
Berjuta-juta manusia juga,
Dinafikan kasih-sayang,
Merentas negeri sudah menjadi,
"A Big No",
Jaga jarak... jaga jarak...,
Sudah menjadi norma baharu,
Di mana-mana manusia pergi,
Pelitup muka sudah menjadi,
Teman akrab penyelamat nyawa,
Memang... amat menggerikan penangan,
Makhluk Allah bernama kuman korona ini.
Namun,
Kehadiranmu membuka mataku,
Agar lebih menghargai nikmat,
Nikmat bekerja,
Nikmat beribadah di masjid,
Nikmat bersilaturrahim,
Nikmat menuntut ilmu dunia dan ukhrawi.
Kau mengajarku,
Agar mengambil tahu,
Keberadaan orang-orang disekelilingku,
Tatkala kita perlu,
Lebih banyak berada di rumah,
Demi memutuskan rantaian covid ini,
Kau mengajarku,
Betapa nikmatnya untuk,
Mendidik sendiri anak-anak di rumah,
Betapa indahnya perasaan,
Melihat anak-anak menjamah,
Masakan ibunya di rumah.
Covid-19,
Menginsafkan diriku,
Betapa kerdilnya manusia,
Kuman sekecilmu,
Mampu mencetuskan,
Kemusnahan ekonomi dan nyawa,
Betapa berkuasanya-Mu, Ya, Allah,
Yang menjadikan kuman korona sebagai,
Ibrah dan pengajaran.
Ya, Allah,
Sesungguhnya kami,
Mengakui kekerdilan ini,
Ampunkanlah kami, Ya Allah,
Sudah banyak onar dan dosa yang kami lakukan,
Berikanlah kami kesempatan,
Untuk memakmurkan semula bumi ini,
Kau angkatlah covid-19,
Dari muka bumi-Mu ini,
Sepertimana Nabi Isa a.s.,
Berdoa kepada-Mu,
Agar dihapuskan yakjuj dan makjuj,
Dari bumi-Mu kelak.
Palestin, bumi mu kembali berdarah,
Apalah salah mu?
Hingga luka itu kembali bernanah!!
Tatkala umat Islam yang lain,
Bersekang-mata memburu malam Lailatul Qadar,
Warga Palestin terpaksa bergelut,
Dengan bom dan mortal.
Tatkala umat Islam yang lain,
Sibuk dengan persiapan,
Eid Mubarak yang bakal menjelma,
Warga Palestin dipaksa,
Menelan kepiluan,
Melihat harta dan nyawa,
Insan tersayang musnah diragut,
Oleh manusia berhati batu.
Di manakah umat Islam yang lain?!
Tatkala warga Palestin,
Berdepan dengan kezaliman ini!
Di manakah umat Islam Negara Arab?
Di manakah umat Islam Negara Malaysia?
Di manakah umat Islam Negara Indonesia?
Wahai saudaraku warga Palestin,
Maafkanlah di atas kelemahan,
Kami Umat Islam,
Janganlah dikau bersedih,
Baitul Maqdis adalah kiblat pertama umat Islam,
Dari bumi mu ini,
Lahirnya Para Nabi dan Rasul,
Dari bumi mu ini juga lah,
Keadilan kan ditegakkan oleh,
Insan berjiwa perwira,
Berbanggalah justeru,
Pemuda pemudi mu dianugerahkan,
Allah SWT pahala syahid,
Usahlah dikau kecewa,
Kami umat Islam tetap dibelakangmu,
Dari jauh kami titipkan doa,
Agar dikau tetap teguh,
Dalam perjuangan maha mulia ini.
Percayalah,
Pertolongan dari Allah akan tiba,
Melenyapkan kebatilan,
Memancarkan kebenaran,
Bersabarlah wahai Palestin,
Sesungguhnya Allah,
Bersama-sama mereka yang bersabar.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada tahun 2020, kedai-kedai di Esplanade Business Park masih lagi agak lengang dengan pengunjung. Ini kerana, tidak banyak lagi kedai-kedai yang dibuka. Tapi pada tahun 2021, kehadiran beberapa jenama kedai yang popular menjadikan kawasan Espanade Business Park semakin meriah dengan pengunjung. Kalau pembaca nak tahu, bangunan kedai-kedai di sini agak unik kerana ianya berkonsepkan Inggeris.
Ok lah, jom kita lihat antara kedai-kedai yang sempat Ida intai dan masuk di Esplanade Business Park, Puncak Alam.
Baker’s Cottage
Sekarang ni, ada promosi ayam panggang seekor RM11.90. Kalau beli set nasi ayam, anda dapat juga menikmati pilihan donut atau egg tart. Bagi Ida, memang berbaloi lah.
Deretan pastri yang dimasak segar setiap hari.
Kedai berikutnya ialah Zy Factory Outlet.
Kedai ini menjual pelbagai jenis kerepek dan kudap-kudapan serta barangan penjagaan muka dan kesihatan hasil keluaran tempatan. Apa yang menariknya di sini ialah dekorasi dalamannya yang selesa dan santai.
Ok, kedai ini memang ramai orang masuk. Apa lagi kalau bukan kedai eco. Ida terpaksa beratur untuk masuk ke kedai ini. Kedai eco agak popular kerana kebanyakan barang yang ada didalamnya dijual dengan harga RM2.10.
Kedai eco
Barang-barangnya boleh tahan juga dan praktikal. Di antara barang-barang yang menjadi perhatian Ida sewaktu masuk ke sini.
Bakul yang ada penutup boleh letak telur atau buah-buahan.Alat tulisPinggang mangkuk Tempat letak berus gigi dan ubat gigiAlatan kutleriNote-bookBrooch yang pelbagai jenis dan menarik
Kononnya nak bersenam, so Ida beli lah hoop ni. Dah lama cari tak jumpa. Alhamdulillah, kat kedai eco ni ada. RM2.10 je.
Hoop yang sekian lama di cari dengan harga RM2.10
Kedai berikutnya ialah Mykori. Kedai ini selain dapat menjamu selera, dapat menjamu mata juga tau. Hampir 90% dekorasi dalamannya bertemakan warna pink dan purple. Sangat cantik dan menarik.
Waffle dengan topping ice-cream dan strawberry berserta dengan mango smotthie dan ice coffee blended
Apa lagi, jomlah ke Esplanade Business Park, Puncak Alam. Suasananya yang seolah-olah seperti berada di over-sea pasti membuatkan anda rasa teruja untuk shopping dan menjamu selera.